Thursday, 7 February 2013

Sebab-sebab Mengapa Sebilangan Pengkaji Hadis Masa Kini Menyokong Syeikh Nasiruddin al-Albani

Para penyokong al-Albani yang kurang berilmu pengetahuan tentang selok belok minhaj Islam adalah mangsa terbesar kepada sikap terburu-buru yang menjadi pegangan al-Albani. Mereka mengikuti sikap beliau secara membuta tuli kerana tidak berkemampuan untuk menilainya secara kritis, dengan membandingkan pemikiran al-Albani dengan pemikiran aliran-aliran lain yang dibentuk di atas kefahaman terhadap Islam jua, sebagai agama yang satu dan menyatukan pemikiran seluruh ummatnya. Mereka biasanya terdiri dari golongan yang membaca dan mendengar semata-mata, tapi tidak berfikir secara teratur pada perkara yang mereka baca dan dengar itu. Apa yang mereka lakukan adalah mengikuti al-Albani secara membuta tuli dan akhirnya sampai kepada kesimpulan bahawa al-Albani tidak boleh dicela di atas kesilapannya dalam persoalan adab dan akhlak, dengan bermacam-macam alasan yang akan kami jawab beberapa ketika nanti.

Di sini, kami nyatakan beberapa sebab yang mungkin mengapa ada pengkaji hadis masa kini yang menyokong al-Albani atau mengiktirafnya, walaupun wujud begitu banyak kesilapan dan kecelaruannya dalam soal adab dan akhlak serta kesilapan dalam menghukum hadis-hadis Nabi صلى الله عليه وسلم. Sebelum itu, perlu kami jelaskan, apa yang kami nyatakan di sini merupakan sikap sebilangan pengkaji hadis masa kini yang pernah terlibat dengan pemerhatian terhadap karangan-karangan beliau serta mengkaji semula hadis-hadis yang beliau tahqiq. Ia bukan sikap keseluruhan mereka.

1. Tanaasub fii Maidaan al-Afkaar [ التَّنَاسُبٌ فِي مَيْدَانِ الأَفْكَار ] iaitu "keserasian dalam medan pemikiran". Ini adalah sebab dan punca utama mengapa ramai para pengkaji hadis menyokong kedudukan al-Albani dalam bidang hadis. Kebanyakan penyokong-penyokong al-Albani terdiri dari pengikut Ahlul Hadis Hanabilah (yang mendakwa diri mereka dengan gelaran Salafi), mereka memiliki keserasian di dalam minhaj dakwah, pemikiran dan perjuangan. Begitulah yang terjadi kepada sebilangan pengkaji hadis yang melakukan kajian kepada tahqiq al-Albani, mereka barangkali bersikap lepas tangan dari kesilapan-kesilapan al-Albani kerana tidak mahu mengkritik seorang lelaki yang sejalan dengan minhaj mereka.

1. Ta'azzur [ التَّعَذُّرُ ] dan Istikhfaaf [ الإِسْتِخْفَافُ ] iaitu "memaafkan" dan "meringankan" - Sebilangan pengkaji melihat kesalahan al-Albani dengan pemerhatian yang terarah kepada tolak ansur, kemaafan dan keringanan. Yang demikian ini terjadi kerana mereka tidak memandang kesilapan-kesilapan al-Albani sebagai sesuatu yang berat dan perlu diperbesarkan, memandangkan jasa beliau dalam ilmu hadis lebih banyak dari kesilapannya sendiri. Juga memandangkan kedudukan beliau sebagai seorang manusia biasa yang pastinya tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Keadaan ini boleh terjadi dalam penilaian yang berkaitan dengan kesilapan dalam adab dan akhlak dan juga kesilapan dalam meletakkan hukum pada hadis-hadis.

2. 'Adamul 'ilmi [ عَدَمُ العلْمِ ] dan Ihmaal [ الإِهْمَالُ ] iaitu "tidak tahu" atau "tidak sampai pengetahuan kepadanya" dan "terlepas pandang" - Mereka tidak mengetahui kesilapan-kesilapan yang dilakukan al-Albani atau terlepas pandang padanya. Yang demikian ini boleh terjadi andaikata mereka tidak mengkaji seluruh karangan al-Albani dan mentahqiqnya secara lengkap. Ini juga boleh terjadi andaikata mereka melakukan "i'timaad" (pegangan) terhadap tahqiq yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji hadis lain.

Dengan itu, amat sukar untuk pengetahuan tentang kesilapan al-Albani sampai kepada mereka kerana kebiasaannya, penilaian seorang pakar yang berpegang kepada kajian pakar lain bergantung kepada kefahaman pakar yang dijadikan pegangan itu sendiri. Andaikata dia mengetahui sesuatu kesilapan dan tidak menyembunyikannya, orang yang merujuknya dapat mengetahui kesilapan tersebut, sebaliknya, kesilapan itu kekal tanpa pengetahuan si perujuk.

3. Ta'zhiim [ التَّعْظِيمُ ] iaitu "memuliakan" - Sebilangan pengkaji hadis mungkin memiliki pandangan yang terlalu tinggi kepada peribadi al-Albani, lalu kesilapan-kesilapannya, walaupun diketahui, dibiarkan dan didiamkan dengan alasan, tidak ada faedah mencela orang yang dihormati. Sikap ini boleh menjadi asal kepada terhasilnya natijah yang berikutnya, sikap memaafkan dan meringankan seperti mana yang disebutkan di atas. Suatu kebiasaan apabila seseorang itu dimuliakan dan dihormati, kesilapannya akan ditolak ansurkan dan diringankan. Salah satu sebab kenapa terhasilnya sikap sebegini ialah mereka memandang bahawa al-Albani seorang peribadi yang terlalu masyhur dikaitkan dengan ketokohan dalam bidang al-Hadis dan sememangnya para Ahlul Hadis itu sangat mulia, dengan itu mereka wajib dimuliakan dan dihormati selalu.

Apabila kami membawakan perkataan ulama-ulama hadis kini yang telah mentahqiq semula karangan-karangan al-Albani dan menyatakan kesalahan beliau, pengikut-pengikut a-Albani pula datang dengan membawakan kalam ulama yang menyokongnya. Sikap ini menunjukkan bahawa mereka hanya melihat kecantikan bunga sahaja, namun tidak awas terhadap duri-duri yang merintangi bunga itu. Mereka mahu syeikh yang mereka angkat sebagai idola pujaan mereka ini terus dipuja-puja dan tidak boleh dilihat lagi sebarang kelemahan atau kekurangan yang ada padanya, walaupun kita hanya bertujuan memperbetulkannya dan mengembalikan diri kepada pegangan yang lebih sahih. Ketaksuban mereka menjadikan al-Albani seakan-akan "kebal" dari sebarang bentuk kritikan. Mereka seakan-akan tidak nampak lagi kesilapan syeikh mereka, tapi yang mereka nampak hanyalah sifat-sifat yang terus mereka puja dan dewakan.

Sikap ini adalah tidak betul sama sekali kerana apabila kita mengetahui kenyataan bahawa al-Albani adalah seorang peribadi yang dijadikan rujukan oleh bukan satu atau dua orang lelaki daripada ummat ini, tetapi ratusan ribu. Maka, apabila muncul satu fatwa atau ketetapan tertentu dari beliau yang dijadikan ikutan oleh orang-orang awam terutamanya, andaikata ianya salah, seluruh ummat Islam akan terfitnah. Kerana itu, menjadi sebahagian dari adab yang wajib dipatuhi oleh para mujtahidin Islam ialah warak dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang perkataan tentang agama.

No comments:

Post a Comment